Thursday, April 21, 2011

Sila kemuka laporan jika ada kuari pasir haram


Oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 17 April: Kerajaan Negeri akan pastikan semua syarikat yang terbabit kegiatan pengeluaran pasir ada permit dan jika terbukti ianya dilakukan secara haram mereka akan dikenakan tindakan tegas.

“Kita  tidak akan berkompromi dalam hal ini. Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati mengeluarkan pasir secara haram di negeri ini,” kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan  Abdul Razak di Wisma Darul Aman.

Pihaknya sentiasa memantau pengeluaran permit mengorek pasir kerana tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan melakukan operasi secara haram.

Menurutnya, operasi pengluaran pasir diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian. Terdapat yang telah diluluskan dua tahun lepas atau setahun lalu tetapi kerja-kerja mengorek dibuat tahun ini.

“Jika ada pihak dakwa ianya beroperasi secara haram, beri bukti kepada saya untuk disiasat,” katanya mengulas  kenyataan Pengerusi Perhubungan MIC Kedah S Nanthan yang mendakwa berlaku pengeluaran pasir secara haram di tebing Sungai  Karangan, Taman Desa Kulim dan Padang Serai sejak tiga bulan lalu.

S. Ananthan juga menggesa Kerajaan Negeri menghentikan segera operasi terbabit kerana dibuat dalam skala besar dan sekiranya tidak mendapat kerjasama pihaknya tidak teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.

Sebaliknya Dato’ Seri Ustaz Azizan berkata, sekiranya dakwaaan itu benar MIC diminta mengemukakan laporan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut. Siasatan akan dilakukan apabila  menerima bukti adanya operasi secara haram.

“Serahkan bukti secara rasmi kepada saya, dan jika benar, siasatan akan dibuat untuk dakwa syarikat atau sesiapa sahaja,  jika tak ada bukti macam mana saya nak siasat. Saya harap MIC berilah kerjasama,” katanya.


http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=5062&mode=&order=0&thold=0