Wednesday, November 3, 2010

37) APABILA BUKIT BUKAU DITARAH


Gambar atas: Sistem akar tunjang yang sempurna membantu tanah menyerap jumlah air yang banyak pada hujan lebat.

Gambar bawah: Sebaliknya, tanah bukit yang gondol tanpa sistem akar tidak mampu menahan muatan air berlebihan dan limpahan luar biasa larian air sehingga memungkinkannya terlonggar. 


APABILA BUKIT BUKAU DITARAH

Cuba anda memandu dan perhatikan dari Hulu Selangor, Gombak dan Selayang, Cyberjaya hingga ke Sepang dan bandingkan pemandangannya dengan keadaan kira-kira 15 tahun lalu.

Jika anda perasan, sepanjang laluan lebuh dan jalan raya utama di negeri Selangor, jelas kelihatan tiada lagi pohon-pohon hijau di sekelilingnya tetapi digantikan dengan ‘hutan-hutan batu’ atas nama pembangunan.

Maka tiada lagi, bukit bukau dan hutan menghijau yang mampu memberikan ketenangan kepada pemandu dan juga melindungi bumi daripada dilanda bencana seperti tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku akibat pembangunan tanpa mengambil kira atau memahami peranan hutan dan bukit bukau sebagai kawasan tadahan hujan yang penting.

Secara ringkas, kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dua minggu lepas berlaku kerana kejadian gelongsoran tanah apabila kawasan berkaitan yang telah sedia longgar tidak dapat menampung penambahan berat akibat tepu dengan air hujan.

Sokongan Sistem Akar
Faktor penyebab bencana itu ialah lapisan tanah yang longgar dan ketiadaan sistem akar bagi memegang partikel tanah. Ketua Bahagian Ekologi dan Akuatik, Pusat Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia, Mohd. Hifni Mohd. Baharuddin, membantu wartawan Mega mempermudahkan konsep ini.

Katanya, hutan di kawasan bukit secara semula jadi mempunyai peranan penting sebagai kawasan tadahan hujan, manakala sistem akar tunjang yang terdapat di dalam ekosistem hutan yang sihat berfungsi memegang dan menetapkan partikel tanah untuk kukuh di tempatnya.

Dalam keadaan semula jadi, limpahan air hujan akan jatuh pada kanopi pokok terlebih dahulu, sebelum tiba dan diserap ke dalam tanah dan seterusnya mengalir melalui kitaran hidrologi yang normal.

Jelas Mohd. Hifni, tanah berperanan bak ‘span’ yang menyerap lebihan air hujan. Sistem akar tunjang dari pokok-pokok besar yang berada jauh ke lapisan tanah yang lebih dalam akan memegang ‘span’ tanah ini bagi membolehkannya menyimpan serta melepaskan lebihan air sedikit demi sedikit.

“Oleh itu, kita dapat lihat banyak larian air yang kecil seolah-olah keluar dari mata air di kawasan bukit-bukit berhutan,” terang pakar ekologi itu.

Sebaliknya, tanpa hutan, kawasan tanah tinggi yang mana tanahnya terdedah tanpa akar-akar tunjang dari pokok-pokok besar, limpahan hujan lebat akan terus jatuh dalam jumlah yang besar ke atas tanah.Justeru, tanah terpaksa menyerap jumlah air yang banyak dengan segera.

‘Span’ Tanah
“Masalahnya, partikel tanah ini telah longgar berbanding tanah yang kaya dengan sistem akar semula jadi, mengakibatkan ‘span’ tanah cepat menjadi tepu,” tegas beliau.

Tanpa sokongan daripada sistem akar, ‘span’ yang telah tepu itu tidak mampu menampung berat air berlebihan, lalu tergelongsor sebagai tanah runtuh.

Contoh yang dipermudahkan, pertimbangkan satu keluasan dan kedalaman tertentu tanah kawasan berbukit. Selepas hujan lebat beberapa hari, tanah itu mungkin hanya mampu menampung berat partikel tanah bercampur air seberat 10 tan sahaja dan mula menggelongsor menjadi tanah runtuh.

Sebaliknya, tanah dengan keluasan dan kedalaman sama yang disokong dengan kehadiran sistem akar tunjang daripada beberapa pokok besar, mampu menyerap malahan menampung dua atau tiga kali ganda daripada berat tersebut.

Inilah sebabnya bukit yang ditarah mempunyai risiko tanah runtuh yang sangat tinggi akibat lapisan tanahnya yang lebih terdedah.

Selain mengawal tanah runtuh, konsep ‘span’ tanah dan sokongan daripada sistem akar tunjang turut berperanan mengawal limpahan air yang boleh menyebabkan banjir kilat.

“Inilah sebabnya kawasan tadahan hujan amat perlu dipulihara dan dikekalkan sebagai satu entiti besar semula jadi tanpa gangguan pembangunan,” jelasnya lagi.

Meliputi tanah tinggi yang ditarah dengan rumput atau tumbuhan renek (misalnya, tanaman sayur) juga tidak membantu span tanah. Ini kerana sistem akar tumbuhan sebegini hanyalah akar rerambut yang dangkal dan tidak mampu memegang lapisan tanah yang lebih dalam.

Di Tanah Tinggi Cameron Highlands misalnya, hutan semula jadi boleh dikatakan hampir tidak lagi wujud ekoran terlalu banyak tarahan bukit menjadi ladang-ladang sayur.

Liputan sebegitu hanya melindungi bukit daripada hakisan akibat hujan ringan tetapi risiko tanah runtuh tetap tinggi semasa hujan lebat.

Selain itu, membajak tanah untuk pertanian juga melonggarkan tanah.

Justeru, Mohd. Hifni berharap supaya kawasan tanah tinggi dipulihara dan dilindungi sepenuhnya.

“Lagipun, membangunkan kawasan tadahan hujan sudah tentulah berbahaya dan berisiko tinggi, jadi untuk apa membahayakan rakyat dengan mengganggu kawasan sebegini?” soal beliau.

Pendek kata, jadikanlah kejadian Bukit Antarabangsa sebagai satu pengajaran untuk kita khususnya kepada pihak-pihak yang melobi, memaju dan meluluskan projek pembangunan kawasan bukit.


Sumber Maklumat: Utusan Malaysia, 15 December 2008

No comments:

Post a Comment