SEJAK beberapa bulan terakhir ini, Malaysia kelihatan seperti sebuah negara yang berada dalam zon bencana alam serius. Apa tidaknya, bermula dengan beberapa tragedi tanah runtuh di Selangor, termasuk Bukit Antarabangsa, batuan runtuh di Ipoh, tanah runtuh di Miri, dan banjir besar di beberapa daerah, termasuk di Sabah dan Sarawak. Walhal, Malaysia sebetulnya boleh dikategorikan sebagai negara yang 'hampir bebas' daripada bencana alam.
Malaysia pada umumnya bukan sebuah negara yang bergunung-ganang, dengan ramai penduduk tiada pilihan, melainkan terpaksa tinggal di kawasan pergunungan yang berisiko tanah runtuh. Sungai kita tidak terlalu panjang dan berdataran banjir yang luas sehingga penempatan yang sesuai untuk membina kawasan perumahan amat terhad.
Negara kita juga jauh daripada 'jalur lingkaran api', di mana bencana gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi – berada pada tahap risiko yang sangat rendah. Begitupun, negara kita begitu prihatin dengan rakyatnya yang ditimpa bencana alam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa tanah runtuh dan banjir di Miri baru-baru ini, antara lain menyatakan negara kita terkehadapan dan sering diteladani dalam konteks respon kepada mangsa bencana. Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM200 juta setahun untuk membantu rakyat ditimpa bencana, dan beberapa tahun terakhir ini, negara sudah membelanjakan hampir RM1 bilion setiap tahun untuk membantu dan membaikpulih infrastruktur akibat bencana banjir dan tanah runtuh.
Bencana alam adalah isu yang sangat kompleks dan bersifat rentas sektor. Sangat sukar meramalkan bila, di mana, dan magnitud sesuatu kejadian bencana. Banyak kejadian bencana, hanya jelas dapat dilihat impaknya selepas berlaku, selepas mengorbankan nyawa dan harta benda. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan negara membangun lebih banyak memberikan tumpuan dan membuat persediaan untuk respon apabila bencana menimpa rakyatnya.
Walaupun, respon sangat perlu – menyelamatkan nyawa, mengawal kerosakan yang lebih besar dan mententeramkan keresahan masyarakat awam, pada hakikatnya respon hanya satu usaha terakhir yang mesti dilakukan untuk menangani bencana. Mengurus bencana secara lebih efektif ialah dengan menyediakan rancangan jangka panjang berstrategi bagi mengurangkan risiko bencana.
Proses pengurangan risiko bencana yang paling asas ialah penyelidikan dan pengumpulan maklumat mengenai bencana secara berterusan. Apabila kita mempunyai maklumat mengenai cirian curahan hujan untuk 500 tahun terakhir, kita akan dapat meramal dengan kepercayaan yang tinggi mengenai corak curahan hujan untuk 500 tahun akan datang.
Apabila kita peta dengan terperinci kawasan di landa banjir, kedalaman air banjir, kelakuan curahan hujan, jenis pembangunan ketika itu dan impaknya, sebetulnya kita sudah mempunyai maklumat penting untuk berdepan risiko bencana banjir pada masa akan datang.
Begitu juga dengan kejadian tanah runtuh, sama ada ia mengorbankan nyawa atau tidak, pengetahuan mengenai kedudukan, saiz, mekanisme kegagalan, faktor penyebab dan pencetus, dan impaknya adalah maklumat paling penting untuk membolehkan kita meramal potensi dan risiko kejadian tanah runtuh akan datang.
Lebih banyak dan tepat maklumat terkumpul, lebih mudah dan jelas bagi kita meramalkan dan merancang tindakan yang boleh diambil untuk meminimumkan impaknya kepada masyarakat dan harta benda. Pendekatan pengurangan risiko bencana yang paling efektif ialah dengan mewujudkan dasar dan perancangan pengurusan bencana secara bersepadu dan jangka panjang. Ada tiga situasi kawasan berisiko bencana ditangani dalam konteks perancangan.
Pertama, kawasan yang sudah dibangun berada pada zon berisiko bencana. Kawasan seperti ini memerlukan perhatian serius dan tindakan pengurangan risiko bencana secara berterusan. Penilaian dan pemantauan terperinci mengenai risiko bencana diperlukan, dan keputusan perlu dicapai sama ada kerja membaikpulih atau pengukuhan boleh dilakukan bagi mengelak kejadian bencana, atau tindakan drastik mesti diambil untuk memindahkan komuniti yang terperangkap dengan risiko bencana yang tinggi ke kawasan lebih selamat.
Ada kalanya proses pemindahan boleh dilakukan menerusi proses perancangan secara beransur-ansur melalui konsep 'pembaharuan bandar', dan secara jangka panjang sesuatu kawasan berisiko bencana dijadikan zon guna tanah baru yang tidak menimbulkan risiko bencana kepada masyarakat.
Kedua ialah kawasan yang sudah ditetapkan sebagai zon pembangunan tetapi berdepan risiko bencana yang tinggi. Sebahagian daripada tapak sudah diperuntukkan untuk pembangunan tertentu dan sebahagian lagi masih dalam proses perancangan. Dalam situasi begini, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mempunyai 'kekuatan politik' untuk membuat keputusan baru bagi mengelak kawasan berkenaan terus dibangunkan lantas berhadapan risiko bencana. Proses pendidikan awam, perbincangan sehingga membuat keputusan menang-menang, dan tindakan tegas perlu diambil untuk keselamatan awam.
Ketiga, kawasan milik kerajaan atau awam yang sememangnya sudah diisytiharkan sebagai hutan simpan atau kawasan pertanian, dan berada dalam zon berisiko bencana tinggi. Kawasan begini seharusnya dikekalkan dalam zon guna tanah sedia ada dan diisytiharkan juga sebagai kawasan berisiko bencana alam yang tidak harus dibenarkan untuk di ubah-guna menjadi kawasan pembangunan atau penempatan yang boleh menimbulkan masalah keselamatan awam pada masa akan datang.
Pendekatan paling berkesan untuk mengurangkan risiko bencana ialah pendidikan awam atau komuniti. Apabila masyarakat memahami dan menghayati konsep risiko bencana di sekitarnya, mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk terus berdepan dengan risiko bencana atau bertindak dengan lebih bijak untuk memilih tinggal di tempat lebih selamat.
Pendidikan awam perlu dilakukan secara berterusan, pengetahuan mengenai bencana perlu diterapkan dalam sistem pendidikan formal di sekolah dan universiti, dan pendidikan tidak formal melalui pelbagai cara, terutama bagi kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana. Salah satu cara paling berkesan ialah menyediakan pusat maklumat, galeri atau muzium khas di kawasan yang pernah mengalami bencana besar, dan ini akan terus mengingatkan komuniti serta pengunjung di kawasan terbabit bahawa bencana pernah berlaku, dan boleh berlaku lagi pada masa depan.
Kesedaran dan penghayatan komuniti mengenai risiko bencana penting sebagai 'ejen perubahan'. Apabila wujud desakan masyarakat, akan wujud pula dasar dan keprihatinan kerajaan untuk memberikan perhatian serius mengenai risiko bencana. Akhirnya, pihak pemaju atau swasta terpaksa akur dengan kehendak masyarakat umum.
Malaysia bukanlah negara yang berdepan bencana serius dan sukar dibendung. Kejadian bencana alam paling meluas ialah banjir sungai – komuniti yang terbabit sudah mampu menyesuaikan diri dengan bencana. Bagaimanapun, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko bencana dan pada masa sama, memastikan lebih ramai komuniti dibebaskan daripada terus berdepan risiko bencana banjir ini.
Banjir kilat di kawasan perbandaran seperti Kuala Lumpur adalah banjir angkara manusia. Negara perlu membelanjakan wang yang banyak untuk menangani kesilapan yang kita lakukan pada masa lalu. Bencana tanah runtuh pula mula menjadi semakin serius di kawasan perumahan dan perbandaran disebabkan kerakusan pemaju yang ingin mengaut keuntungan tanpa memberi perhatian serius mengenai keselamatan awam.
Langkah jangka panjang yang paling efektif ialah usaha menghindar dan mengurangkan risiko bencana, bukannya tertumpu kepada aktiviti respon saja apabila berlaku bencana.
Sumber maklumat: Berita Harian 23 Feb 2009
No comments:
Post a Comment